Tips Untuk Sediakan Simpanan Kecemasan

Ada simpanan kecemasan sebanyak sekurang-kurangnya enam (6) bulan gaji. Kalau ada lebih banyak, lagi bagus. Sekiranya pendapatan bulanan isi rumah kita RM10K, maka kita patut ada simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM60K. Simpanan ini digunakan apabila berhenti kerja, mengalami masalah kesihatan dan lain-lain.

Di sini saya berikan tip praktikal bagaimana nak capai matlamat di atas:

#1 – Mengikat Perut

Ikat perut, usah berhutang terutama perkara yang tidak perlu. Elakkan berhutang untuk beli smartphone dan perabot. Apabila kita berhutang barangan sebegini, besar kemungkinan kita habiskan 45% bayaran balik untuk bayar faedah. Buat apa bekerja bagai nak mati untuk bayar faedah?.

#2 – Elakkan Pinjaman Peribadi

Usah buat pinjaman peribadi untuk kenduri kahwin. Apabila pinjam RM50K untuk kenduri kahwin, pasangan berkenaan melangkah ke alam rumahtangga dengan hutang. Apa guna jadi Raja Sehari kalau selepas itu kita jadi Hamba Hutang bertahun-tahun?

#3 – Elakkan Kad Kredit

Gunakan kad debit, elakkan kad kredit. Ia sama seperti bayar tunai, tak berhutang. Ada duit beli, tak ada duit tak perlu beli.

#4 – Bayar Semula Setiap Bulan

Kalau nak gunakan kad kredit, pastikan bayar balik penuh setiap bulan. Usah berhutang. Gunakan credit limit yang rendah, bergantung kepada keperluan dan kemampuan bayar. Ramai orang muflis kerana kad kredit. Kalau kita tak mampu bayar balik kesemua baki kad kredit setiap bulan, itu petanda kita sudah berbelanja di luar kemampuan.

#5 – Menyimpan

Usah naik taraf gaya hidup apabila ada pendapatan tambahan. Maksudnya usah tukar kereta baru apabila naik gaji atau dapat bonus. Gaji naik RM200, bayaran kereta baru pun tambah RM200. Usah buat begitu, gunakan lebihan pendapatan untuk simpanan.

#6 – Sumber Pendapatan Kedua

Selain pendapatan utama, elok ada sumber kedua pendapatan. Ada orang bekerja tetap tetapi membuat bisnes online, latihan, menulis buku atau menyediakan khidmat perundingan. Selain membantu aliran tunai, pekerjaan tambahan ini juga memberikan kita escape plan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pekerjaan utama.

#7 – Elakkan Skim Cepat Kaya

Berhati-hati dengan skim cepat kaya. Usah percaya kalau ada orang janjikan pulangan tetap yang besar dengan pelaburan yang kecil. Kalau mereka ada formula hebat untuk pelaburan, mereka tak cari pelabur individu yang tak banyak duit seperti kita. Ramai yang kayap dengan skim cepat kaya. Kalau ada duit lebih dan nak labur jangka panjang, manfaatkan skim saham amanah (unit trust).

#8 – Elakkan Buat Bisnes Bermusim

Usah habiskan duit untuk buat bisnes bermusim. Orang buat bisnes ikan keli dalam kanvas, kita pun nak buat bisnes ikan keli dalam kanvas. Orang tanam serai wangi, kita pun nak tanam serai wangi. Ramai yang habis wang tabungan (dan rugi) kerana buat bisnes bermusim.

#9 – Jangan Jadi Penjamin

Elakkan menjadi penjamin pinjaman walaupun kepada adik-beradik dan kawan-kawan terdekat sekiranya mereka tidak mampu. Buat penilaian, sekiranya anda percaya mereka tidak ada kemampuan bayar balik atau tidak ada disiplin kewangan, usah jadi penjamin. Ramai hadapi masalah kewangan kerana jadi penjamin kepada orang lain. Hidup jadi kacau-bilau kerana jadi penjamin orang lain.

#10 – Dapatkan Nasihat

Walau berapa pun gaji kita, pastikan ada simpanan. Mulakan dengan menyimpan 10% gaji bulanan dan tingkatkan jumlah tersebut dari semasa ke semasa. Ada banyak instrumen simpanan dan pelaburan yang ada. Dapatkan nasihat mereka yang ada ilmu dalam soal pengurusan kewangan peribadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *